Tinjauan
Masalah Boring di Kalangan Remaja:
Apa Kata Jauhari?

Hai, orang muda! Menung nampak? Boring ke? Relakslah, manusia mana yang tidak dilanda boring. Mari ikuti pandangan anggota-anggota kumpulan nasyid Jauhari mengenai fenomena boring dan cara mengatasinya.

AZIMI ISMAIL
Nilai Kejayaan

“Tidak ada manusia yang tidak dilanda boring dalam hidup ini, kerana boring itu adalah salah satu cabaran bagi seseorang remaja. Apabila seseorang remaja itu dapat mengatasi masalah boring yang dihadapi, maka di situlah nilai kejayaan seseorang. Tanpa rintangan, apalah istimewanya sesuatu kejayaan. Berjaya mengatasi sesuatu masalah, itulah nilai kejayaan seseorang”.
 

JAMIL SUKAIMI
Boring Bukan Masalah

“Boring memang tidak boleh dielakkan. Ia lazim bagi  seseorang remaja. Seorang remaja yang matang akan mengambil alternatif yang baik dengan membuat kerja-kerja yang berfaedah mengikut apa yang diminatinya, seperti ke kutub khanah, membaca buku, bersukan dan lain-lain yang boleh menghilangkan boring. Dengan kata yang lain kita kena sibukkan diri dengan perkara yang berfaedah. Kalau kita terperap terus membiarkan boring berterusan, maka kita akan  dipengaruhi perkara-perkara yang tidak berfaedah. Maka boring yang sepatutnya tidak menimbulkan masalah akan menimbulkan perkara yang lain ke arah negatif. Ini menyebabkan kita mudah terpengaruh dengan masalah sosial seperti lepak, dadah dan lain-lain”.

ZAINUDDIN  HJ. ARSHAD
Cari Alternatif

“Boring! Biasalah. Boring adalah masalah besar di kalangan remaja. Kerana bermula dari situ, kalau tidak dikawal dengan baik, ia akan membawa remaja kepada masalah sosial. Kalau kita boring, kita jadikan lepak sebagai alternatif, ia juga merupakan jalan yang kurang tepat. Apabila kita melepak dengan kawan, ia juga akan mendatangkan  boring. Selanjutnya mencari jalan yang lain mengatasi boring apabila melepak, tentulah jalan yang dicari itu perkara yang selari dengan melepak. Bermula dari situlah akan menyusul masalah yang lain. Jadi kita kena pelbagaikan alternatif kerana apabila kita boring dengan suatu perkara yang kita buat, kita masih ada pilihan yang lain”.
 

ABU BAKAR MOHD JAAFAR
Berhibur Ikut Syariat

“Bagi kebanyakan remaja berhibur adalah alternatif apabila dilanda boring. Hari ini sudah banyak alternatif untuk berhibur yang sesuai dengan syariat berbanding dengan dahulu. Tidak ada alasan lagi bagi kita mengatakan nak hilangkan boring mesti dengan melepak, berlegar sana sini. Kita berhak menentukan ke mana arah diri kita kerana kita lebih memahami diri kita sendiri. Terpulanglah untuk kita mencari jalan untuk menghadapi boring kerana kita remaja yang hidup di zaman moden yang serba canggih adalah remaja yang matang dan pandai memilih jalan yang tepat”.

 Homepage